Friday, October 9, 2009

Ikhtibar dari kelalaian

Bencana Alam:Fenomena atau Amaran Allah?

Allah swt berfirman dalam Surah Ar-Rumm ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Hampir setiap hari dimuka depan akhbar kita dipaparkan dengan pelbagai bencana alam yang melanda dunia. Fiji, California, Mindanao, kepulauan Samoa dan Padang Sumatera antara tempat yang menjadi tumpuan lensa buat masa ini. Kemusnahan infrastruktur, angka kematian yang terus meningkat, bantuan berupa makanan, perubatan, dan air bersih menjadi isu penting yang diberikan fokus ketika ini oleh pihak berwajib.

Fenomena alam atau amaran Allah

Peristiwa yang berlaku ini seharusnya membuatkan kita berfikir sama ada bencana alam yang berlaku ini semata-mata fonomena alam atau ia adalah satu bentuk amaran daripada Allah swt kepada manusia.

Bagi yang melihat bencana alam ini dari kanta iman dan taqwa pasti mereka mengatakan bahawa ia merupakan satu amaran daripada Allah swt akibat daripada perbuatan mungkar yang melata di atas muka disamping penolakkan terhadap hukum-hukum Allah.

Allah swt berfirman dalam surah Al-Israa’ ayat 16.

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang Yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”

Konsert Beyonce

Begitulah amaran yang diberikan oleh Allah swt yang seharusnya diambil pengajaran. Allah swt menganugerahkan akal untuk manusia supaya boleh menilai baik buruk sesuatu keadaan. Masalah sosial yang semakin meruncing merupakan salah satu faktor kepada kemurkaan Allah. Pelbagai bentuk hiburan melampau yang disajikan kepada rakyat menerusi pelbagai saluran menyebabkan ia seolah-olah telah menjadi suatu budaya bagi rakyat Malaysia.

Kemasukan artis-artis barat ke negara kita sejak akhir-akhir ini begitu membimbangkan kita kerana mereka turut membawa masuk budaya kuning yang boleh mempengaruhi golongan remaja. Satu daripadanya adalah konsert daripada artis Beyonce akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini walaupun sebelum ini konsert tersebut dibatalkan atas bantahan NGO Islam tetapi telah diizinkan semula baru-baru ini oleh kerajaan.

Penyanyi yang terkenal dengan pakaian seksi dan menghairahkan itu bakal beraksi di Kuala Lumpur sebagai misi untuk mempromosikan albumnya yang ketiga diserata dunia. Adakah kita sudah lupa beberapa konsert sebelum ini Rihanna Live In Kuala Lumpur pada Februari lalu dan kumpulan Michael Lears To Rock awal bulan lepas. Tidak dilupakan konsert kontroversi konsert Mariah Carey. Sungguh malang nasib bangsa kita jika perkara ini berterusan berlaku disaat negara kita dijadikan negara contoh sebagai negara Islam.

Berhibur tidak salah tetapi biarlah kita berhibur di atas landasan syarak. Islam tidak menghalang kita berhibur kerana dengannya kita dapat merehatkan minda dan sebagainya. Apa yang dibimbangkan adalah ketika berhibur kita terlupa akan batas-batas syariat. Percampuran bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, pakaian penyanyi yang menghairahkan nafsu syahwat dan lirik lagu yang tidak berunsurkan kebaikan menyebabkan kita menolak konsert ini.

Adakah rakyat Malaysia belum lagi bangun dari lena melihat apa yang berlaku kepada negara jirannya. Jangan sampai dengan perbuatan seperti ini akan menghalang rahmat Allah kepada negara Malaysia sebaliknya diturunkan pula bala atas kelalaian manusia dalam mengambil pengajaran terhadap apa yang Allah swt telah tunjukkan dari bencana yang berlaku sebelum ini.

Berubah

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk secara perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Apabila manusia berdosa dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri. Justeru itu, kembalilah kepada fitrah manusia. Fitrah beragama.

Akhirnya,saya mengajak seluruh mahasiswa UTM agar menyedari perkara ini dan bersama-sama mengembleng tenaga untuk menyedarkan masyarakat di luar sana agar kembali kepada Allah dengan meninggalkan segala bentuk kemungkaran kerana kita merupakan golongan terpelajar yang dapat membezakan antara baik dan buruk sesuatu keadaan dan janganlah pula kita tergolong dalam golongan yang menyumbang kepada kemurkaan Allah.

Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!

http://cahaya-keinsafan.blogspot.com

0 comments: